Menurut laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku antara 9 hingga 10 malam, Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat pada 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya pergaduhan di taman perumahan berkenaan.
Katanya, susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi di Kangar.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu.
"Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru namun suspek tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.
"Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.
"Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat," katanya.
Siasat Wujud Unsur Kongsi Gelap
Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.