Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bekas Pelumba GP Elly Idzlianizar Maut Akibat Ditetak

Gempak
12/09/2024 06:45 MYT
Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, semalam disebabkan kecederaan akibat ditetak selepas pergaduhan di Kangar.

Berlaku Pergaduhan

Menurut laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku antara 9 hingga 10 malam, Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat pada 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya pergaduhan di taman perumahan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.

"Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.

"Mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Tiga Lelaki Ditahan

Katanya, susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi di Kangar.

"Semasa penahanan dibuat juga, kita turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.

"Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk," katanya.


Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu.

"Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru namun suspek tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.

"Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

"Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat," katanya.

Siasat Wujud Unsur Kongsi Gelap

Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.

"Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah," katanya.


Sumber: Harian Metro

#Polis #Maut #Kes #Elly Idzlianizar #GP #Bekas Pelumba #Ditetak
;