Bekas pemain badminton negara, Adelle Ng akui gementar dan tertekan berlakon, tambahan pula ia merupakan cubaan pertamanya dalam dunia lakonan.

Kata Adelle yang kini merupakan jurulatih badminton, melatih pemain digelanggang lebih mudah dan tidak terlalu mencabar seperti berlakon.

“Berlakon lagi mencabar daripada melatih pemain di gelanggang badminton. Jujur saya berasakan tekanan ketika mula-mula di set penggambaran.

“Mungkin sebab ini cubaan pertamaan saya. Di tambah pula dengan kehadiran pelakon hebat seperti Maya Karin dan Jordan Voon.

“Tetapi lama kelamaan perasaan tersebut hilang dengan sendiri kerana pengarah, Don Hoe banyak membantu saya,” katanya.

Tambah Adelle lagi, dia turut berbangga kerana dapat berlakon bersama legenda badminton tanah air seperti Datuk Rashid Sidek dan Cheah Soon Kit.

“Walaupun kami di lapangan yang sama, tetapi saya tidak pernah bergambar dengan mereka. Jadi, bila berpeluang berada dalam scene yang sama, saya rasa bangga,” katanya ketika ditemubual menerusi program Nadi Weeked, Nadi Arena baru-baru ini.



Olympic Dream mengisahkan tentang kecekalan seorang anak muda, Wong Anna (lakonan Adelle Ng) yang menanam impian sejak kecil dan bercita-cita untuk menjadi pemain badminton kebangsaan. Walaupun Anna mengalami masalah kesihatan, ia tidak mematahkan impiannya.

Ketika di sekolah, Anna ternampak kehebatan Pak Cik Quan yang juga merupakan bekas pemain badminton dalam mengendalikan bola tangkis.

Sejak itu, Anna sentiasa berlatih dengan Pak Cik Quan sehingga berjaya memenangi pertandingan badminton.

Bakat Anna telah dilihat oleh jurulatih Cheah dan itu membuka laluan Anna untuk menjadi pemain kebangsaan.

Olympic Dream kini sedang ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.

Lagi menarik mengenai Olympic Dream, filem ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan badminton tetapi dipadatkan lagi dengan konflik dan babak dramatik yang mengajak penonton untuk menghayati perjuangan seseorang dalam usaha mencapai impian, di samping babak-babak mendebarkan ibarat menonton perlawanan sebenar.