Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Bekas Pemain Dram Kumpulan Ukays Disahkan Terbunuh Dalam Serangan Udara Di Syria Bersama Isteri & Anak

Fiza Kamarudin 13/11/2019 | 14:38 MYT
Bekas pemain dram kumpulan Ukays, Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan sejak 2014 dilaporkan terbunuh pada awal tahun ini.

Akel atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin disahkan maut bersama isteri dan dua anaknya berusia dua dan tiga tahun dalam serangan udara Rusia di Syria pada Mac lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, maklumat yang diterima memaklumkan rumah Akel di Baghouz terkena letupan bom semasa serangan udara itu.

“Selain itu, seorang lagi pejuang IS warga Belgium turut terbunuh dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Akel dilaporkan menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria malah turut ke sana untuk menyertai perang sejak 3 Januari 2014.

Pada Oktober 2014, Akel didakwa giat merekrut golongan muda dari Malaysia untuk berperang bersamanya di Syria.

Ayob memaklumkan, seorang lagi anggota militan Malaysia, Mohd Rafi Udin yang juga dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi juga dibunuh semasa serangan udara Rusia pada Januari lalu.

“Dia pernah muncul dalam video IS pada 2016, menyeru serangan terhadap kerajaan sekular dan pemimpinnya. Dalam video itu, dia dilihat memenggal kepala tawanan dipercayai dari Timur Tengah.

"Dia telah menjadi militan Mujahidin Malaysia (KMM) pada tahun 2001, dan menyertai Jemaah Islamiyah (JI) sebelum pergi ke Syria untuk menyertai IS,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

#Meninggal Dunia #Pemain dram Ukays
;