Bekas penjaga gol skuad kebangsaan Piala Asia 1976 dan 1980, Abdul Hamid Ramli telah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi akibat mengalami komplikasi jantung.

Memetik laporan BERNAMA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerusi laman Facebook, Allahyarham meninggal dunia pada usia 68 tahun dan meninggalkan isterinya Fatimahwati Dahlan serta lapan cahaya mata.

"Salam takziah diucapkan kepada waris dan keluarga Allahyarham Abdul Hamid. Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin. Seangkatan dengan mendiang Datuk R. Arumugam, mendiang Ong Yu Tiang dan mendiang Peter Rajah, Abdul Hamid bersaing hebat untuk mengawal gawang negara.

"Asalnya dipanggil menyertai skuad kebangsaan oleh Allahyarham Jalil Che Din pada 1975, Abdul Hamid menembusi pintu skuad utama apabila dipilih menjadi penjaga gol kedua kepada Arumugam pada pusingan akhir Piala Asia di Iran pada 1976," kata FAM.

Allahyarham mula memegang tanggungjawab sebagai penjaga gawang utama negara pada 1979 untuk membantu skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 1980, di Kuwait, menjuarai Pestabola Merdeka 1979, dan mengutip pingat emas Sukan SEA 1979.

Pada tahun 1980, Allahyarham menarik diri daripada skuad pra-Olimpik atas dasar komitmen kerja.

Untuk liga domestik pula, Abdul Hamid menganggotai skuad Kelantan yang dibarisi nama-nama besar seperti Nik Fauzi Hassan, Mahadi Yussof, Kamaruddin Mohd Nor, Yassin Mohd Noor, Nik Salleh Nik Man dan Ramli Abdullah, menggantikan Awang Isa selaku penjaga gol utama Kelantan dari 1974 hingga berhijrah ke Sarawak pada tahun 1985.

Allahyarham bersama mentornya yang juga bekas jurulatih negara, Mohamed Che Su menghabiskan dua musim di Kuching sebelum kembali ke Kelantan lalu mengumumkan persaraannya.

Selepas itu, beliau meneruskan kerjaya selaku jurulatih penjaga gol bersama beberapa pasukan termasuk Kelantan, Angkatan Tentera, KM Naza, Polis Diraja Malaysia dan Negeri Sembilan.

Salam takziah dari Gempak untuk keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

Sumber: BERNAMA
Foto: Sinar Harian