Bekas Penyampai Radio, Gary Ratnam Abdullah Ditemui Mati
Fiza Kamarudin
11/07/2020 17:42 MYT
11/07/2020 17:42 MYT
Bekas deejay sebuah saluran radio tempatan, Gary Ashraf Ratnam Abdullah, 55, atau dikenali sebagai Scam Boy ditemukan mati di kediamannya di Seremban, pada Sabtu.
Menurut sumber, jenazah ditempatkan di bilik mayat Hospital Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat.
"Bedah siasat mungkin dilakukan pagi esok (Ahad)," kata sumber. Rakan Allahyarham yang juga deejay TraxxFM, Nigel Green ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, dia terkejut menerima berita kematian Gary.
Kali terakhir saya berjumpa dengar dia kira-kira dua tahun lalu," katanya yang menyifatkan Allahyarham seorang yang periang dan peramah.
Allahyarham dikatakan memeluk Islam selepas berkahwin dengan pilihan hatinya. Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 10.20 pagi.
"Setiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya dan disahkan telah meninggal dunia," kata beliau kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Jelasnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Gary sebelum ini popular dalam program Morning Zoo dengan panggilan 'Gary, the Scamboy' di Traxx FM bersama rakannya '1 Singh' yang diperkenalkan pada 2011.
Traxx.FM merupakan radio berbahasa Inggeris di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia (RTM).