BERITA
Bekas Ratu Cantik Ditemui Mati Terapung Selepas 4 Hari Diculik
Seorang bekas ratu cantik ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya yang berbogel ditemui terapung di perairan Tacloban City, wilayah Leyte, empat hari selepas diculik.
Menurut kenyataan Polis Wilayah 8 di Facebook, seorang nelayan yang dimaklumkan oleh rakannya segera menghubungi pihak berkuasa selepas ternampak mayat mangsa.
Pasukan Biro Perikanan dan penguat kuasa tempatan kemudiannya membawa naik mayat ke daratan untuk tindakan lanjut.
Pemeriksaan awal mendapati mayat wanita berusia 35 tahun itu berada dalam keadaan lebam dan membengkak, dengan kesan kecederaan yang ketara.
Mangsa yang dikenali sebagai Akini Arradaza dikenal pasti melalui tatu khas di bahagian perut dan belakang badan, sebelum disahkan oleh ahli keluarga.
Lebih mengejutkan, leher, tangan dan kaki mangsa diikat, manakala wajahnya ditutup dengan kain hitam dan dibalut kemas menggunakan pita pelekat berwarna biru. Matanya turut terbonjol dan lidah terjelir keluar.
Mangsa dipercayai telah diculik pada pagi 31 Julai lalu di Ormoc City, kira-kira 46 kilometer dari lokasi mayat ditemui.
Rakaman CCTV menunjukkan wanita itu dilarikan tiga lelaki bersenjata ke dalam sebuah kenderaan berwarna hitam ketika sedang berdiri di tepi jalan.
Laporan kehilangan hanya dibuat pada 4 Ogos oleh adik mangsa, yang turut memaklumkan bahawa mangsa sempat bercakap dengan seorang penduduk berhampiran sebelum kejadian berlaku.
Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan agensi keselamatan di kawasan berdekatan bagi mengesan suspek dan menyiasat motif sebenar kejadian. – Agensi
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video