Bekas Suami Dakwa Lufya Omar Fitnah Isu Nafkah Anak, Ini Komen Balas Empunya Badan…
Susulan kenyataan yang dikeluarkan bekas suami Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum semalam di laman sosial, aktres Lufya Omar lebih memilih untuk menggunakan saluran yang tepat bagi mendapatkan keadilan.
Tiada sebarang kenyataan balas, Lufya yang dinasihatkan oleh peguam berkata pihaknya telah memfailkan kes berhubung dakwaan Dr Hafiz terhadapnya di mahkamah.
“Saya tak perlu balas. Saya dinasihatkan oleh peguam yang dilantik untuk menggunakan saluran yang tepat bagi mendapatkan keadilan dan kebenaran.
“Kes telah difailkan di Mahkamah dan saya serahkan pada pihak yang berkuasa. Semoga Allah melindungi kami anak-beranak. Amin,” katanya.
Lufya berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada pagi Selasa dan rata-rata netizen mendoakan segala urusannya dipermudah.
Terdahulu, Dr Hafiz tampil mendakwa dirinya difitnah berhubung isu nafkah anak dan menegaskan kenyataan yang dibuat Lufya sebelum ini adalah palsu dan sama sekali tidak benar.
Menerusi perkongsian di Instagram, Dr Hafiz turut memuat naik gambar laporan polis yang dibuat dipercayai ada kaitan mengenai kenyataan bekas isterinya yang berunsur fitnah.
Jelas Che Hafiz, dia maklum akan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah anak malah dia bersama bekas isteri telah memberikan penyelesaian yang terbaik buat anak mereka Laana Haura, 4.
Tambah Che Hafiz dia tidak hairan dengan sikap Lufya yang selama ini didakwa suka melontarkan kata-kata fitnah dan aib terhadap dirinya kerana sudah mengenali sikapnya.
Che Hafiz dan Lufya pernah mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.
Lufya dan Hafiz yang merupakan seorang doktor bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!