HIBURAN

Bekas Suami Tak Bertanggungjawab, Pelakon Popular Sanggup Jadi Pemandu Teksi Demi Besarkan Anak

Asyraf Roslan 26/05/2025 | 13:55 MYT
Pelakon Korea Selatan, Jung Ga Eun mendedahkan kini sedang memulakan kerjaya sebagai pemandu teksi demi membesarkan anak selepas berdepan masalah kewangan dan dicurangi suaminya.
Menerusi video yang dikongsikan di Youtube, pelakon yang popular menerusi drama The Master’s Sun itu mengakui keputusan untuk beralih kerjaya adalah satu langkah yang besar demi masa depan anak perempuannya.
“Segalanya masih belum pasti tapi membesarkan anak saya menjadikan saya lebih kuat,” ujarnya.
Jung turut berkongsi bahawa ayahnya pernah menyara mereka sekeluarga dengan menjadi seorang pemandu teksi.
Dengan peluang lakonan yang semakin menyempit, Jung memilih untuk mengikuti jejak bapanya dan mahu menjadikan bapanya sebagai penumpang pertamanya selepas memperoleh lesen.
“Ayah saya baru sahaja menjalani pembedahan kanser esofagus dan keadaannya kurang sihat. Saya ingin menjemput beliau sebagai penumpang pertama saya selepas lulus peperiksaan lesen,” katanya.
Jung telah memulakan karier sebagai model pada 1997 dan mula menceburi bidang hiburan selepas menjadi naib juara Miss Korea Gyeongnam pada 2001.
Pada 2016, Jung telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Namun selepas dua tahun melayari bahtera perkahwinan Jung mengumumkan penceraian pada 2018.
Dalam pada itu, bekas suaminya juga difahamkan terlibat dalam lebih 600 kes penipuan menggunakan namanya dan dipercayai menyebabkan kerugian berjumlah 13.2 bilion KRW (RM44 juta).
Selepas penceraian, bekas suaminya gagal membayar nafkah dan kini dipercayai berada di luar negara.
#Pemandu Teksi #Besarkan Anak #Jung Ga Eun