Pelakon Hafreez Adam, 31, menyatakan hubungan dia dengan bekas tunang iaitu aktres Zara Zya berada dalam keadaan baik.

Menurut Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam satu naskah drama.

Katanya, dia sudah menerima tiga tawaran untuk digandingkan bersama namun terpaksa ditolak disebabkan kekangan jadualnya dengan Zara.

"Selepas putus tunang, hubungan kami masih baik walaupun tidaklah kami lepak minum bersama macam dulu-dulu.

"Saya siap boleh bekerjasama kalau diberi peluang digandingkan bersama dengan Zara tapi disebabkan jadual yang clash menyebabkan perkara itu tidak kesampaian sehingga sekarang.

"Zara pun tiada masalah bila pihak produksi yang tawarkan watak itu cakap dia kena bergandingan dengan saya.

"Dari situ saya dapat rasakan yang hubungan kami baik walaupun kami tidak pernah bercakap lagi selepas putus tunang pada dua tahun lalu," katanya kepada Gempak.

Hafreez ditemui pada majlis pelancaran koleksi busana raya, 9 Generasi rekaan pereka fesyen Azirun Ramly yang diadakan di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, pelakon drama Monalisa tidak menafikan yang dia kini sedang berkenalan dengan seseorang namun lebih selesa untuk tidak berkongsi secara terbuka.

"Lepas ini, kalau betul kata saya kembali bercinta, saya tidaklah terlalu sorok tapi tidak juga terlalu terbuka dalam berkongsi hal cinta.

"Saya ambil pengajaran daripada pengalaman lalu.. Saya akan lebih tertutup dan hanya akan umumkan bila kami jadi berkahwin.

"Dulu masa saya dengan Zara pun kami bukan nak hebahkan sangat (tentang majlis pertunangan), tapi tak nak orang cakap kami menipu bila orang tanya," katanya lagi.

Terdahulu, Hafreez dan Zara mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober 2019 namun ikatan itu putus sebulan kemudian.