Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Belanjawan 2023: Anwar Gayakan Beg Tenun Sarawak, Samping Biru Muda Penjara Penor & Capal Kepala Batas

Syafiqah Jalal
24/02/2023 10:57 MYT
Sudah seperti mejadi kelaziman, selain menantikan isi bajet terbaharu, penampilan figura Menteri Kewangan akan menjadi tarikan.

Hal itu antara lain kerana sosok yang dipercayai tersebut akan membawa sebuah beg fail yang mengisi rahsia belanjawan terkini saban tahun.

Untuk tahun ini, penampilan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan turut menjadi tumpuan sebelum masyarakat memberi perhatian terhadap isi Belanjawan 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan dibentangkan.

Penampilan Anwar diperhatikan dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Antara yang menjadi tarikan adalah baju Melayu lengkap songkok dan samping berwarna biru muda yang dipakainya.

Agensi BERNAMA melaporkan kain samping tersebut dihasilkan oleh Penjara Penor, Pahang.

Beliau melengkapkan penampilan dengan memakai capal dari Kepala Batas dan beg fail warna hitam bermotif corak tenunan Sarawak yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023.

Selain penampilan, Anwar turut menjadi tumpuan kerana beliau kembali ke Dewan Rakyat selepas 26 tahun bagi membentangkan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan selepas Kabinet dibentuk pada 2 Disember lepas.

Anwar kali terakhir memegang portfolio yang sama pada tahun 1998.

Ditanya perasaannya selepas 26 tahun kembali membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita di Kementerian Kewangan sebelum bertolak ke Parlimen hari ini secara ringkas berkata: “Sempurnakan tanggungjawab dengan baik”.