Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#Belasungkawa: Rudy Imran...Damailah Dikau Di 'Rumah Teragung', Pergi Mu Tiada Ganti

Mya Amri
31/03/2022 13:17 MYT
“Cinta lelaki teragung… Membuat aku berbahagia… Kaulah kekasih di dunia… Dan di syurga…” Inilah antara bait-bait lirik penuh makna yang ditulis oleh Allahyarham Iman Imran, penulis lirik lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah.

Kelu lidah, hilang kata-kata… Antara perasaan yang dirasai oleh rakan-rakan dalam industri sebaik sahaja mendapat berita mengenai pemergian Iman Imran atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsudin, hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 47 tahun akibat kanser usus di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor jam 11.30 pagi tadi.

Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan... Arwah selamat dikebumikan pada jam 6 petang tadi.

Benar… Satu realiti pahit yang sukar ditelan namun itulah yang berlaku. Tiada lagi tawa ceria, senyuman manis, gurau senda dan teguran manja daripada insan yang mesra disapa Abang Rudy itu.

Mungkin ada yang tidak tahu ketika hayatnya, Abang Rudy yang juga merupakan bekas wartawan Harian Metro, banyak berbakti dalam industri dan membantu anak seni dengan penulisan yang hebat.

Berikut merupakan antara fakta mengenai Rudy Imran.

1. Allahyarham cukup disegani sebagai wartawan hiburan tanah air yang turut berkecimpung dalam penulisan lirik.

2. Allahyarham berpengalaman sebagai wartawan selama 26 tahun dan pernah berkhidmat dengan akhbar Harian Metro, Utusan Malaysia, Bacaria, Harian Watan dan majalah Hai.

3. Pencapaian terbaiknya sebagai penulis lirik adalah lagu Lelaki Teragung dendangan penyanyi Dayang Nurfaizah yang diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31 tahun 2017.

4. Lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah yang ditulis Allahyarham juga tempat ketiga pada AJL 29 pada tahun 2015.

5. Allahyarham juga turut menulis lirik Hey! Kau nyayian Allahyarham Sandra dan Nyawa & Raga dendangan Sarah Suhairi.

6. Mungkin ada yang tidak perasan, Rudy juga pernah menghasilkan novel yang diinspirasikan daripada kisah-kisah cinta artis tanah air berjudul Menangkah Cinta?

7. Allahyarham memiliki ijazah sarjana dalam bidang komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan dalam proses menyiapkan tesis bagi melengkapkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

8. Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri oleh rakan serumah arwah pagi Khamis.

9. Menurut rakan baiknya yang juga merupakan wartawan hiburan Harian Metro, Sudirman Mohd Tahir, Rudy yang sebelum itu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dibenarkan pulang ke rumah dua hari lalu.

"Dua hari lalu, adiknya menghantar mesej kepada saya memaklumkan arwah sudah dibenarkan pulang ke rumah. Namun, dia meminta supaya perkara itu dirahsiakan," katanya. (Harian Metro)

10. Kali terakhir Sudirman bertemu dengan Rudy adalah ketika menziarahinya di hospital pada Januari lalu.

"Sewaktu menziarahinya pada Januari lalu, dia ada beritahu saya, dia segan kalau orang datang melawatnya kerana dia takut tak boleh nak layan tetamu," katanya. (Harian Metro)

Semoga segala kebaikan Abang Rudy di dunia menjadi bekalan buatnya menempuhi alam berikutnya.

Selamat jalan ke negeri abadi, Rudy Imran Shamsudin…

Kredit foto: @afilsyazwan / Utusan Malaysia

#Meninggal Dunia #Iman Imran #Rudy Imran #Rudy Imran Shamsudin
;