Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau dilaporkan meninggal dunia pada 85 tahun di Hospital Teluk Intan, Perak, jam 4.40 petang, 18 Disember 2023.

BERITA TRENDING: Penyanyi Legenda, Datuk M Daud Kilau Meninggal Dunia

Bagi generasi masa kini, berita kepulangan pemilik nama sebenar Muhammad Daud Kilau itu ke negeri abadi hanya seperti ‘angin lalu’ ; dengan barangkali ada yang baru terkial-kial untuk mengenali siapa M Daud Kilau yang membuat seluruh industri hiburan tempatan berduka.

Allahyarham M Daud Kilau adalah khazanah dunia hiburan yang tidak akan pernah tergantikan sebaik beliau menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

BERITA TRENDING: M Daud Kilau Kritikal, Alami Sesak Nafas

Bersama kaca mata besar, rambut bergaya ramos, busana berkilat dan flamboyan, allahyarham menumbuhkan keghairahan terhadap seni bukan hanya lewat merdu lenggok vokalnya tetapi penampilan eksentrik yang menjadi penjenamaannya sehingga ke akhir hayat.

Itu belum lagi berbicara mengenai lagu-lagu yang telah membesarkan namanya dalam industri. Cetakan demi cetakan sejarah dicipta oleh anak kelahiran Sungai Ular, Bagan Datuk, Perak ini menerusi tembang seperti Bunga Hati, Laksamana Raja Di Laut dan Joget Kelantan.

Gila Judi dan Cik Mek Molek malah menjadi dua karya malar segar yang cocok masuk dalam karya masterpiece penghibur ini. Masakan tidak, dalam kebanyakan program pertandingan nyanyian atau sekadar bergembira di bilik karaoke, dua lagu tersebut sering menjadi pilihan ; dan jika dinyanyikan ia seperti mengalirkan elektrik untuk membawa semua yang mendengarkan ikut berpesta pora.

Malah kolaborasi dengan Ezlynn menerusi lagu Pening yang dirakamkan pada 2003 menjadikan allahyarham sebagai salah seorang bintang legenda yang tidak pernah ditelan dek zaman.

Namun dalam banyak babak kehidupan penuh warna yang ditayangkan kepada umum, menuju usia senja, allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik ini tidak terlepas daripada ujian kesihatan.

Bintang veteran itu menghidap pelbagai jenis komplikasi penyakit termasuk jantubg, kencing manis dan mengalami paru-paru berair yang menjadi berita palsu dirinya telah meninggal dunia pada Julai lalu.

Berita M Daud Kilau meninggal dunia bukan sekali bertebaran tetapi beberapa kali termasuk pada 2016 silam dan September 2022.

Bagaimanapun kesemuanya adalah berita palsu yang sempat membuat masyarakat kembali prihatin tentang kesihatan penghibur yang juga mendapat jolokan sebagai Raja Gelek ini.

PILIHAN PEMBACA: “Ikutkan Sebelum Ini, Ayah Tak Pernah Ada Masalah Paru-Paru Berair,” - Keadaan M Duad…

Sehingga Isnin 18 Disember 2023, akhirnya Allah SWT menjemput pulang hakNya ini — pada hari kakinya dijadualkan dipotong.

Dan sehari setelah itu, allahyarham dikebumikan dalam suasana penuh hiba dengan disantuni oleh ahli keluarga dan peminat yang menemani perjalanan terakhirnya di
Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh.

Maka terpisah sudah kehidupan duniawi M Daud Kilau dengan kita semua. Yang tinggal adalah kenangan dan kebaikan yang pernah ditabur di dunia buat kita semua.

Bagi penulis secara peribadi, satu perkara tentang allahyarham yang sangat dihormati dan dikenang sehingga kini adalah bagaimana beliau masih fasih dan memperkasa pembacaan serta penulisan bahasa Jawinya.

Al Fatihah Selamat bersemadi dengan aman dan tenang Muhammad Daud Kilau. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.