Laman Utama
Bell Ngasri Bimbang Watak Barkoba Yang Malas Berpuasa Melekat Terus Dalam Dirinya
Pelakon Bell Ngasri mengakui gusar apabila dia sering dijadikan sebagai ‘ikon’ tidak berpuasa setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Sungguhpun hal itu dicetuskan oleh watak Barkoba yang dijayakannya, namun ujar Bell dia risau jika tanggapan dan gelaran itu kekal sehingga bila-bila.
“Ketika saya terima offer melakonkan watak Barkoba, tak sangka pula akan melarat hingga orang jadikan saya ikon tidak berpuasa. Masa tu fikir janji ada kerja dan bayaran berbaloi.
“Begitupun setiap kali tiba bulan Ramadan, mesti akan ada orang jadikan wajah saya sebagai gambaran individu tidak berpuasa dan hal ini sudah tentu memberikan kerisauan kepada saya,” katanya kepada Gempak.
Bell ditemui pada majlis sidang media pengumuman pakej umrah bersama barisan selebriti oleh Syabibah Travel & Tours di ibu kota baru-baru ini.
Barkoba merupakan watak lakonan Bell dalam tiga telefilem arahan Allahyarham Mamat Khalid berjudul 16 Puasa, 17 Puasa dan 19 Puasa yang juga merupakan karya terakhir arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir, Oktober tahun lalu.
Bell memberitahu, sungguhpun gelaran berkenaan memberi impak pada emosi, termasuk anak-anaknya turut dipersenda oleh rakan-rakan sebaya, namun Bell bersedia untuk menjayakan watak tersebut jika diperlukan
“Arwah pernah beritahu yang dia bermimpi telefilem ini akan berlanjutan hingga 20 Puasa. Namun, 19 Puasa tidak terbit disebabkan arwah ada projek lain iaitu filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
“Katakanlah jika ada sambungan nanti, saya okay sahaja nak bawa watak tersebut. Saya yakin yang isteri atau anak arwah sedia maklum mengenai jalan ceritanya.
“Jika ditanya, saya sendiri tidak mempunyai masaalah untuk berlakon di bawah arahan anak arwah iaitu Mohd Khalid Amen kerana hasil kerjanya tak banyak beza dengan arwah.
“Lagipun dia ada pengalaman bekerja bersama kami sebelum ini. Jadi saya sudah memahami cara dia bekerja,” ujar Bell lagi.
Dalam perkembangan lain, Bella bersama Saharul Ridzwan, Faizal Ismail dan Zulin Aziz bakal mengerjakan umrah bersama peminat pada bulan puasa nanti.
Mereka yang berminat untuk menyertai program umrah itu bolehlah mengunjungi pejabat agensi terbabit di No. 12-1, Jalan Wira 1, Pusat Perniagaan Wira, 71800 Nilai, Negeri Sembilan ataupun menghubungi mereka di talian 018-2897953 untuk keterangan lanjut.
Must-Watch Video