HIBURAN

Bella Astillah Sedih Ayden Jadi Mangsa Buli Di Sekolah - "Dipanggil Anak..."

Ainun Md Zooki 15/08/2025 | 10:10 MYT
Pelakon, Bella Astillah meluahkan rasa sedih apabila mengetahui anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean pernah menjadi mangsa buli di sekolah.

Jelas Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, sebagai langkah berjaga-jaga dia sudah mendaftarkan anaknya itu dalam kelas taekwondo bagi melindungi dirinya sendiri.

“Ayden ada kena buli, saya berasa agak sedih sebab walaupun saya dah masukkan Ayden taekwondo untuk dia jaga diri tapi dia masih kena buli.

“Lepas tu dekat sekolah agama pun kena buli. Saya sedihlah untuk dia,” katanya kepada Gempak.

Bella berkongsi perkara itu ketika majlis rasmi pengumuman pensijilan Halal Thong Bowl yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya pada petang Jumaat.

Menurut Bella, anak lelakinya itu bersekolah di dua sesi iaitu sekolah jenis Cina pada waktu pagi dan sekolah agama pada waktu petang.

Namun insiden buli tetap berlaku di kedua-dua tempat, termasuk gangguan emosi dan fizikal.

“Ayden kena buli emosi dan fizikal, tapi kita dah selesai dengan berjumpa keluarga pelaku.

“Macam dekat sekolah agama, ada yang menjerit kat Ayden panggil dia anak yatim,” jelasnya.

Bagi menangani masalah tersebut, Bella mengambil langkah berjumpa pihak sekolah, keluarga pelaku dan juga pembuli itu sendiri.

“Saya harap dia kuat. Saya ada pergi sekolah juga minta tolong ustazah. Insya-Allah semoga ada perubahan yang baik.

“Bukan sahaja jumpa keluarga, tapi pelaku itu sendiri saya jumpa terus cakap dengan dia sebab yang buli dia adalah perempuan.

“Jadi saya cakap dengan Ayden dia kena kuat sikit selepas ini,” ujarnya

#Bella Astillah #Ayden #Mangsa buli