Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Bella Astillah Terima Anugerah Ikon Ibu Muda 2025 - “Sejujurnya Saya Rasa…”

Asyraf Roslan 12/05/2025 | 01:55 MYT

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah meluahkan rasa syukur selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025.

Menerusi satu perkongsian di Instagram Stories, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabeela Awang Astillah menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu rezeki yang tidak disangka.

“Alhamdulillah, saya bersyukur menerima Anugerah Ikon Ibu Muda 2025. Sejujurnya saya rasa lebih ramai yang layak untuk menerima anugerah ini tapi saya percaya ini rezeki dari-Nya.
“Apapun, terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan. Saya masih belajar dan akan melangkah dengan rendah diri,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Mohamed Ayden dan Ara Adreanna juga memohon maaf sekiranya pemilihan pakaiannya dilihat tidak sesuai.

“Saya juga memohon maaf atas pemilihan pakaian yang dipakai hari ini kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai kod pakaian,” ujarnya.

Bella menerima sijil, selempang dan sejambak bunga yang disampaikan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Terdahulu, Nancy menghadiri Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan 'Sentuhan Kasih Ibu' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Majlis itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan dirasmikan oleh Toh Puan Faridah. Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Anugerah Ikon Ibu Muda diperkenalkan buat julung kalinya dan dianugerahkan kepada Bella Astillah sebagai inspirasi kepada ibu muda yang memanfaatkan sepenuhnya bakat yang dimiliki untuk bangkit daripada sejarah hidup penuh cabaran demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

#Bella Astillah #Anugerah Ikon Ibu Muda 2025