Laman Utama
Belum Berakhir, Amelia Henderson Bakal Buat Rayuan - "Saya Sangat Bangga Dengan Diri Saya"
Pelakon Amelia Henderson bakal memfailkan rayuan terhadap keputusan kes saman berhubung perlanggaran kontrak selepas kemenangan berpihak kepada penerbit Datuk A Aida.
Amelia diperintahkan Mahkamah Sivil Kuala Lumpur hari ini untuk membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi milik A. Aida selepas didapati melanggar kontrak lakonan.
Mengulas keputusan itu, Amelia memberitahu pihaknya tidak boleh mengulas panjang kerana akan memfailkan rayuan.
"Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita nantikanlah. Saya menghormati keputusan mahkamah hari ini. Saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan.
“Saya sangat bangga dengan diri saya kerana saya rasa saya buat perkara yang betul.
“Tapi pada masa sama perasaan itu juga yang bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan, " katanya kepada Astro Gempak.
Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson didapati jelas telah melanggar terma-terma kontrak dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Amelia turut memberitahu dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah ketika bekerjasama dengan A. Aida malah menyifatkan ia satu pengalaman terindah buatnya.
“Pengalaman saya bekerja dengan Datuk A Aida sangat best. Saya tak ada satu patah perkataan negatif pun untuk cakap pasal dia.
“Saya harap semua orang faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini baik A Aida atau siapa pun yang saya pernah kerja sama. Saya dapat pengalaman yang menyeronokkan kerja dengannya, " ujarnya.
Sementara itu, peguam mewakili Amelia Handerson, Wan Norliana Abdul Rahman berkata anak guamannya akan membuat rayuan kepada mahkamah.
“Rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk keputusan keseluruhan hari ini. Secepat mungkin, kami sedang tunggu penghakiman perintah dari plaintif dulu.
"Rayuan bukan bersifat kita boleh terus tangguh," kata peguam Wan Norliana
Sebelum ini, A Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap Idris dan Amelia selepas didakwa menarik diri pada saat akhir daripada membintangi drama terbitan syarikatnya, A Aida Production.
Penerbit itu menjelaskan tindakan berkenaan diambil kerana kecewa dengan sikap tidak profesional pelakon terbabit sehingga menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian besar.
Must-Watch Video