Hiburan
Belum Dua Minggu, Video Lirik Peluang Kedua Nabila Razali Cecah Hampir 3.5 Juta Tontonan!
Biarpun sebelum ini single terbaru Nabila Razali berjudul Peluang Kedua mencetus kontroversi selepas ramai yang membandingkan nyanyiannya dengan Hael, video liriknya kini mencatat hampir 3.5 juta tontonan di YouTube.
Lebih mengujakan, lagu ciptaan Hael Husaini itu turut mendapat lebih 1,000 nyanyian semula (cover) sebelum dilancarkan secara rasmi pada 16 April lalu.
“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan kami berjaya melalui proses pembikinan lagu ini dengan baik.
“Bagi saya lirik lagu ini sangat mendalam sehingga saya sendiri menangis ketika pertama kali mendengar demo daripada Hael.
“Liriknya juga lebih dekat dengan hati masyarakat terutama yang sedang bercinta mahupun putus cinta,” ujarnya.
Rangkap korus lagu Peluang Kedua tular di laman sosial selepas menjadi salah satu lagu tema untuk drama lakonannya Seindah Tujuh Warna Pelangi.
Dalam pada itu, Nabila berkata, penggambaran muzik video Peluang Kedua terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Sepatutnya penggambaran muzik video berlangsung pada 20 Mac lalu tapi arahan kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac membuatkan muzik video itu tertangguh,” ujarnya.
Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dalam hubungan dan meminta untuk diberikan peluang kedua.
Nabila berharap buah tangannya kali ini memberi impak dan dihargai oleh peminat-peminat.
Peluang Kedua kini boleh didapati di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music.