Penyanyi Zamani Slam, 48, menjelaskan perubahan fizikal isteri kesayangannya Nur Juliana Abdul Rani, 36, bukan disebabkan hamil seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menurut Zamani, spekulasi itu timbul mungkin kerana perubahan fizikal Juliana yang semakin berisi.

“Setakat ini belum lagi. Isteri saya belum mengandung seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Mungkin badannya nampak berisi kerana senang hati bergelar isteri.

"Apapun seperti pasangan suami isteri lain, kami juga mempunyai keinginan untuk ada zuriat sendiri," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis resepsi perkahwinannya seperti yang diperkatakan sebelum ini, Zamani berkata, dia memilih untuk mengadakannya pada 1 Januari tahun depan.

"Terlalu suntuk untuk kami buat resepsi dalam tahun ini kerana saya terikat dengan pelbagai komitmen.

"Jadi, 1 Januari adalah tarikh paling sesuai untuk mengadakannya. Kami pun dah mula buat persiapan sedikit demi sedikit.

"Apapun saya terpaksa rahsiakan dahulu lokasi majlis ini dan akan menghebahkan apabila tiba masanya," jelasnya.

Terdahulu, pasangan yang sudah bercinta selama 14 tahun itu berkahwin dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 22 September lalu.

Sumber: Harian Metro