Pengacara dan usahawan terkenal Neelofa, 31, akui terharu apabila masih menerima banyak tawaran untuk mengendalikan program televisyen (TV) dengan imej berniqab.

Meskipun begitu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor terpaksa menolak kerana belum bersedia untuk kembali aktif dalam dunia hiburan.

"Tidak dinafikan saya menerima beberapa tawaran untuk mengacarakan program televisyen, namun saya sendiri masih tertanya-tanya.

"Macam mana wanita berniqab atau seseorang yang hanya boleh nampak bahagian atas mata sahaja untuk muncul dalam saluran premium pada waktu perdana. Mereka memang nak sangat saya terima tawaran itu.

""Saya cakap, bagi saya fikir dahulu. Sepatutnya, komitmen saya pada November dan Disember lalu, namun keadaan tidak mengizinkan kerana ada beberapa perkara perlu diselesaikan," katanya.

Tambah bekas hos MeleTOP itu, dia ingin menimba ilmu pengetahuan dahulu supaya dapat memberi pengisian yang kukuh.

"Jika bersedia menerima tawaran itu, saya tidak mahu pergi kosong. Sebaliknya, biarlah saya fokus kepada pengisian dan menimba ilmu terlebih dulu," kata Neelofa.

Dalam pada itu, tunang kepada Pencetus Ummah (PU) Riz menyatakan dia tidak akan kembali berlakon buat sementara waktu.

"Apa yang pasti kalau berlakon semula atau hal-hal berkaitan itu, saya tak terfikir pun buat masa sekarang," katanya lagi.