Laman Utama
"Belum Tiba Masanya Kita Merentas Negeri" - KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan walau jumlah kes harian COVID-19 menunjukkan penurunan ketika ini namun itu bukan lampu hijau untuk rentas negeri.
Menerusi hantaran di Facebook, KKM menjelaskan beberapa tambahan kluster baharu adalah berpunca daripada aktiviti rentas negeri contohnya Kluster Bukit Bayas di Terengganu dan Kluster Pasai di Sarawak.
Jelasnya lagi, itu sudah membuktikan belum masanya lagi untuk rentas negeri kerana pandemik masih di tahap bahaya.
"Bermula dengan majlis tahlil yang dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif COVID-19.
"Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan main golf.
"Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri terbaharu di Terengganu membabitkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah," tulisnya.
Tambah KKM, kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan untuk kes kecemasan dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.
"Rentas negeri bagi kes kecemasan seperti kematian dibolehkan dengan kebenaran PDRM, namun kita perlu patuhi SOP sepenuhnya untuk melindungi keselamatan diri dan ahli keluarga.
"Jika diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.
"Walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan, belum tiba masanya kita merentas negeri kerana pandemik ini masih bahaya dan jangkitan sangat mudah berlaku," tulisnya lagi.
Must-Watch Video