HIBURAN
Ben Amir Dedah Mahu Ceburi Dunia Lakonan Di Filipina - “Saya Ada Berjumpa Dengan…”
Pelakon Ben Amir mengakui kini sedang berusaha menguasai bahasa Tagalog sebagai persediaan untuk melebarkan sayap lakonannya ke industri hiburan Filipina dalam masa terdekat.
Ben, atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, berkata sebelum pulang ke Malaysia, dia sempat bertemu dengan beberapa wakil agensi lakonan di negara tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang peluang dalam industri perfileman di sana.
“Sebelum saya balik ke Malaysia, saya ada berjumpa dengan pihak agensi lakonan di sana.
“Mereka juga ada bercakap benda yang sama dimana saya mempunyai pengalaman berlakon di Malaysia dan ada rupa juga,” katanya kepada Gempak.
Menurut Ben, pihak agensi berkenaan menasihatinya untuk menguasai bahasa Tagalog terlebih dahulu sebagai langkah penting sebelum menembusi pasaran hiburan Filipina.
“Sebab itulah mereka nak saya belajar untuk menguasai bahasa Tagalog. Mungkin dalam masa setahun atau dua tahun lagi, saya dah boleh masuk industri lakonan di sana,” kongsinya.
Oleh itu, aktor yang terkenal dengan drama Sweet Dreams ini sedang berusaha mendalami bahasa tersebut bagi memudahkan urusan harian dan komunikasi.
“Saya tengah belajar lagi untuk menguasai bahasa tagalog sebab dekat Pulau Siargao ada loghat dia yang tersendiri.
“Macam bahasa Melayu, kan ada banyak loghat. Jadi, dekat sana pun lebih kurang sama la dengan kita cumanya dalam bahasa Tagalog. Itulah yang saya belajar,” jelasnya.
Sekadar info, Ben Amir pernah mengejutkan peminat apabila mengumumkan hasratnya untuk memulakan kehidupan baharu di Pulau Siargao, Filipina.