Pelakon hebat, Datuk Rosyam Nor berpendapat kecederaan yang berlaku sewaktu menjalani penggambaran merupakan antara perkara biasa sebagai anak seni.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam dunia seni, Rosyam juga pernah mengalami beberapa kecederaan cuma bezanya tidak dihebahkan kepada umum.

“Kadang-kadang benda itu berlaku secara tidak sengaja. Saya juga pernah tertumbuk Deen Maidin dalam KL Gangster sampai patah hidung.

“Tetapi, saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di sosial media atau memaklumkan kepada media.

“Saya patah bahu ketika penggambaran Libas, tiada pula saya bising-bising. Sudah itu kerja kita, buat saja.

“Kita bukan Hollywood. Lagipun perkara itu sudah dikatakan tidak sengaja, jadi tidak perlu untuk memperbesarkan,” katanya ketika ditemui Gempak.

Jelas Rosyam lagi, sebarang kemalangan yang berlaku dan tidak mengalami kecederaan parah tidak perlu dihebahkan.

“Semua pelakon ada method masing-masing untuk kerja yang baik. Tetapi dalam method pun kita perlu membuat kawalan.

“Kecederaan itu boleh dikatakan sebagai asam garam dalam sesebuah lakonan, tetapi sebenarnya benda-benda itu tidak sepatutnya dikecohkan. Biarlah diselesaikan secara dalaman.

“Kerana ia akan memberikan kesan bukan hanya kepada nama pelakon itu sendiri, tetapi juga industri.

“Tidak perlulah diperbesarkan hal yang tidak perlu kerana situasi itu akan menyebabkan ramai yang takut nak mengambil pelakon itu berlakon,” jelasnya.

Terdahulu, nama Fezrul Khan hangat diperkatakan selepas aktres Reen Rahim mendakwa pelakon itu terlalu agresif sewaktu menjayakan babak ‘cekik’ bersamanya.

BACA: “Saya Dah Maafkan, Tengok Muka Pun Saya Boleh” - Isu Cekik, Reen Rahim Profesional Cuma Kesal Sebab…

Disebabkan itu Reen secara tidak sengaja telah meninggikan suara selepas babak dicekik oleh aktor itu sehingga menyebabkan berlakunya perselisihan faham antara mereka.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.