"Benda Yang Muak Ni Lah Yang Penonton Suka Tengok" - Penerbit Dah Bosan Buat Drama Kisah Kecurangan, Tapi...

ZULHILMI JALIL
Ogos 21, 2020 03:43 MYT
Penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin mengakui sudah naik muak menghasilkan drama yang mengangkat kisah bertemakan kecurangan.
Begitupun, menurut pengarah drama Nur itu, isu tersebutlah yang terpaksa diterbitkannya kerana sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penonton.
"Dari zaman Madu 3 P. Ramlee, sampailah zaman sekarang, isu kecurangan dalam rumah tangga tetap menjadi pilihan penonton.
"Naik muak abam, tapi benda yang muak inilah yang penonton kita suka tengok. Keji, kecam, menyampah. Balik-balik-cerita yang sama. Bosan..kalau korang bosan, aku lagi tok nenek segala bosan tau. Dah 25 tahun kot menulis, rata-rata tema yang sama," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Pada masa sama, Shahrulezad memberitahu, dia juga terpaka mengikut permintaan daripada pihak stesen televisyen yang mahukan karya sedemikian.
"Benda yang sama itu jugalah masih orang tengok. Buat jelah. Siapa nak tengok, tengok.
"Kami berbisnes. Saya buat apa yang klien, stesen atau penonton mahu, bukan apa yang saya mahu. Kalau saya nak syok sendiri saya akan buat di platform lain," ujarnya.
Bahkan, katanya, sebagai penerbit, nasib dirinya juga diibaratkan sama seperti penjual nasi lemak yang terpaksa menjual makanan yang sama setiap hari mengikut permintaan pelanggan.
"Kau ingat makcik yang jual nasi lemak sedap nak mampus di hujung simpang rumah kau tu tak jemu ke dengan nasi lemak dia sendiri.
"Dia lebih daripada jemu dah cuma dah itu pelanggan dia dok tanya hari-hari. Nak buat macam mana. Jual sahajalah apa yang pelanggan nak," katanya.
#Drama #Penerbit #Shahrulezad