Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Bengang Britney Spears Diperlaku Seperti 'Hamba', Christina Aguilera: "Tidak Boleh Diterima Oleh Manusia..."

Maliah Surip
29/06/2021 07:20 MYT
Seorang lagi rakan artis memberi sokongan moral terhadap kes yang sedang dijalani penyanyi pop tersohor, Britney Spears. Dia adalah penyanyi Christina Aguilera yang sama sama mencipta nama dengan Spears menerusi Mickey Mouse Club.

Spears saat ini berdepan dengan kes rayuannya yang memohon untuk menyingkirkan bapanya, Jamie Spears, sebagai ‘penjaga’ (conservator) selepas permohonannya untuk 'bebas' tahun lalu gagal.

Melihat rakan seperjuangannya ini mengaku kehidupannya bukan seperti hamba dan telah merugikan banyak masa kerana 'disekat' bapa sendiri adalah sebuah perbuatan yang melampau dan melanggar hak asasi manusia.

"Beberapa hari ini saya asyik memikirkan tentang Spears dan apa yang dilaluinya. Adalah tidak boleh diterima oleh semua wanita atau manusia yang kehidupan dan masa depan mereka ditentukan oleh orang lain," luah penyanyi itu dalam akaun Instagramnya, semalam lapor ENews.

Pelantun Candyman ini juga menyelar tindakan pihak penjaga yang mengawal kehidupan Spears lebih sedekad lalu sehingga menafikan kehendak bintang terkenal itu sekaligus menganggu kesihatan mentalnya.

"Penderaan mental dan emosi seperti ini memberi kesan besar terhadap kehidupannya. Ini tidak boleh dipandang enteng.

"Setiap wanita mempunyai hak terhadap diri sendiri, apa lagi untuk berkahwin atau melahirkan dan privasi diri. Dia juga berhak terhadap kebahagiaannya," selar Aguilera lagi.

Aguilera berkata demikian sebagai respons kepada pengakuan Spears yang mendakwa dirinya dihalang mempunyai anak apabila dipasang dengan alat cegah kehamilan (IUD).

Menurutnya lagi, walaupun tidak banyak mengetahui rahsia kehidupan Spears, namun dia berasa simpati dengan pengalaman buruk yang dilaluinya termasuk berpura pura bahagia dengan populariti yang dikecapi.

"Kasih sayang saya bersama Spears. Dia berhak memperoleh cinta sejati dan sokongan dari seluruh dunia," katanya lagi.

Terdahulu, Spears mengejutkan dunia dengan pengakuannya kepada Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat apabila mengatakan dirinya mengalami kemurungan teruk kerana kehidupannya dikawal seperti hamba oleh bapanya.

Dia merayu kepada hakim Brenda Penny untuk dibebaskan daripada telunjuk bapanya, Jamie yang mengawal hidup serta kekayaan miliknya bernilai RM250 juta sejak 13 tahun lalu.

Bersama selebriti seperti Justin Timberlake, Mariah Carey, Brandy, Khloe Kardashian yang menyokong Spears, adiknya Jamie Lynn Spears akhirnya ikut bersuara.

Jamie mengatakan menyokong tindakan kakaknya 100 peratus.

Kredit Foto: WireImages
#Hollywood #Britney Spears #Pop #christina aguilera #freebritney #hamba