Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bengang Fasal Kek, Pengantin Perempuan Minta Cerai Sehari Lepas Kahwin

Maliah Surip
17/08/2023 12:33 MYT
Seorang wanita nekad meminta cerai hanya sehari selepas berkahwin kerana bengang dan marah dengan sikap suami yang tidak boleh menunaikan permintaan ringkasnya sewaktu hari bahagia mereka.

Briana Dutton, 28, berkahwin pada Disember tahun lalu namun memutuskan untuk bercerai dengan lelaki yang telah melamarnya sejak 2020 meski dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Semua itu kerana lelaki tersebut telah melakukan prank dengan menekap mukanya ke arah kek perkahwinan mereka.

“Saya membuat permintaan mudah. Saya katakan tidak mahu ada aksi prank atau ‘bermain’ dengan kek.

“Sebaliknya sewaktu memotong kek perkahwinan kami, dia telah mengambil kepala saya dan menekap kek itu ke muka saya.

“Esoknya, (sehari lepas kahwin) saya minta cerai,” dedah Dutton seperti dilaporkan indy100.com.

Dutton juga mendakwa bekas suami memang berhasrat untuk melakukan prank terhadapnya kerana sudah menyediakan cupcakes sebagai ganti kepada kek perkahwinan mereka yang rosak.

“Kek perkahwinan kami rosak teruk dan dia rupa-rupanya sudah menyediakan cupcakes sebagai ganti,” kata Dutton.

Dia juga mengatakan antara sebab meminta tidak ada aksi prank dengan kek kerana menghidap klaustrofobia atau takut, cemas dan berlebihan saat berada di ruang sempit.

Wanita itu dalam artikel sama mempertahankan tindakan bercerai kerana berasa jika permintaan mudah tidak boleh ditunaikan bagaimana dia mahu hidup dengan lelaki tersebut jika meneruskan perkahwinan mereka.
#Kahwin #Viral #cerai #Kek #Briana Dutton
;