BERITA

Berang Isteri Tak Angkat Telefon, Lelaki Paksa Anak Minum Air Mangkuk Tandas

Gempak 08/08/2025 | 16:19 MYT
Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas tergamak memaksa anak perempuannya yang berusia lima tahun minum air dari mangkuk tandas serta air basuhan kaki gara-gara berang apabila isterinya tidak menjawab panggilan telefon.

Suspek dikenali sebagai ENC dari Demak, Jawa Tengah, Indonesia turut merakam aksi kejam itu menggunakan telefon bimbit sebelum menghantar kepada isterinya, LS melalui WhatsApp sebagai bentuk ugutan.

Kejadian berlaku pada malam Selasa, 22 Julai 2025 ketika ENC membawa mangsa ke rumah saudaranya di Jepara sebelum menginap di sebuah masjid di kawasan Mlongo.

Difahamkan, suspek bertindak demikian selepas isterinya gagal membalas beberapa panggilan telefon.

Rakaman berdurasi beberapa minit yang tular di media sosial itu menunjukkan ENC memukul mangsa sebelum menyuruhnya minum air dari dalam mangkuk tandas menggunakan gelas.

Anak kecil itu turut mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Demak, AKP Kuseni, suspek ditahan di Jepara pada hari sama kejadian dilaporkan dan siasatan awal mengesahkan ENC berada dalam keadaan sedar serta tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika melakukan perbuatan itu.

“Suspek berhenti di tepi jalan selepas panggilannya tidak dijawab, lalu merakam dirinya memukul anak dan menghantar video itu kepada isterinya sebagai bentuk ugutan,” katanya.

Tambah beliau, “ENC juga merakam aksinya mencedok air dari dalam tandas menggunakan gelas sebelum memaksa anak perempuannya minum air tersebut.”

Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk rakaman video dan gelas yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Pemeriksaan perubatan dan psikologi telah dijalankan terhadap mangsa sejurus selepas penahanan suspek.

Sementara itu, LS menggambarkan suaminya sebagai individu yang cemburu buta, mengongkong dan sering bersikap manipulatif.

Pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak yang masih bayi.

Kes disiasat di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam tahun atau denda 72 juta rupiah (RM18,816).

Sumber: Sinar Harian

#Anak #Isteri #Tandas #Air #Paksa #Lelaki #Minum #Mangkuk