BERITA

Berang Mayonis Habis, Lelaki Bakar Kafe

Gempak 22/08/2025 | 15:55 MYT

Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan selepas mencetuskan kebakaran di sebuah kafe di Sepanyol hanya kerana dia diberitahu bahawa restoran itu kehabisan sos mayonis, lapor portal berita MailOnline.

Kejadian berlaku di kafe Las Postas, bandar Los Palacios y Villafranca kelmarin.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menuang petrol ke atas bar lalu membakarnya sebelum melarikan diri.

Situasi itu didakwa tercetus apabila suspek diberitahu oleh dua pekerja bahawa mereka kehabisan mayonis ketika dia sedang menikmati sandwic bersama anaknya.

Berang dengan jawapan itu, dia segera meninggalkan kafe sebelum kembali sambil membawa sebotol minyak petrol untuk membakar premis tersebut.

Suspek berjaya ditangkap oleh Pengawal Awam berhampiran premis tersebut.

Dia kemudian dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk merawat kesan lecur pada tangannya, demikian menurut media tempatan.

Siasatan sedang dijalankan.

Sumber: Kosmo!

#Bakar Kafe #Mayonis