Penerbit filem televisyen Berani Jadi Papa, Lina Tan menegaskan karya terbabit tidak meniru sepenuhnya idea daripada filem Hollywood.

Sebaliknya, kata Lina pihaknya cuma mengambil teknik 'body swap' (pertukaran jasad) untuk diguna pakai dalam menyampaikan mesej cerita.

"Idea 'body swap' sudah lama, bukan hanya di Hollywood tetapi juga filem-filem Jepun dan Korea pun ada.

"Ia satu method untuk menyampaikan mesej, apabila berlakunya body swap, akan ada elemen kelakar.

"Sebenarnya kami mahu tunjukkan perasaan empati apabila seseorang itu berada di tempat orang lain secara realitinya," katanya kepada Gempak.

Tambah Lina, pihaknya akur sekiranya filem televisyen Berani Jadi Papa dibandingkan dengan filem-filem terkenal Hollywood seperti 17 Again dan 13 Going On 30.

"Tiada masalah kalau nak bandingkan pun, di Malaysia sendiri tak banyak filem yang menggunakan kaedah 'body swap' seperti yang dipertontonkan dalam Berani Jadi Papa," tambahnya.

Berani Jadi Papa merupakan buah tangan terbaharu Red Communications Sdn. Bhd. yang menampilkan Datuk Awie, Ungku Hariz dan Rykarl sebagai pelakon utama.

Filem televisyen Berani Jadi Papa mengisahkan kehidupan seorang bapa tunggal, Kamal bersama anaknya Ayim yang tidak sefahaman.

Keadaan mula berubah apabila tubuh mereka tertukar ketika sedang bertengkar.

Berani Jadi Papa telah mula bersiaran di Astro First Eksklusif (480) mulai Khamis 6 Disember.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Berani Jadi Papa berulang kali selama 48 jam dari waktu pembelian.