Anak lelaki kepada aktres dan penyanyi Datin Diana Danielle, Muhammad yang baru saja berusia lima tahun telah menjalani proses berkhatan beberapa hari lalu.

Menurut Diana, dia kagum dengan keberanian anak lelakinya kerana Muhammad sendiri yang meminta untuk menjalani proses terbabit.

"Sebenarnya, saya tidak pernah menyuruh Muhammad untuk berkhatan pada usia sekarang tetapi dia sendiri yang minta memandangkan ramai sepupunya telah pun berkhatan.

"Perkara itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk berkhatan walaupun baru berusia lima tahun, jadi saya ikutkan saja.

"Setelah pulang dari klinik, dia hanya menangis dan menyesal dengan keputusannya untuk berkhatan itu.

"Namun begitu, keadaan Muhammad telah beransur baik setelah memasuki hari kedua selepas berkhatan," ujar Diana.

Diana berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single Infiniti hasil kolaborasi bersama penyanyi Singapura Reyza Hamizan dan NeonSoul bertempat di Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Infiniti merupakan sebuah lagu yang ditulis secara generik dan boleh ditafsirkan sebagai lagu ketuhanan, senikatanya segar dan menggalakkan pendengar untuk membuat tafsiran sendiri.