“Berapa Kali Nak Tangguh Wedding, Waknat Punya PRN” - Netizen Salah Tafsir SOP Majlis Sosial, Ini Jawapan Padu Datuk Seri Hishammuddin!
25/10/2021 09:00 MYT
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Menurut Khairy, larangan itu dibuat menurut ketetapan baharu Kementerian Kesihatan (KKM).
Pun begitu, pengumuman tersebut telah mengelirukan sebahagian netizen untuk membezakan majlis sosial biasa dengan majlis berkaitan pilihan raya.
Menerusi platform Twitter, luahan seorang individu yang bertanggapan majlis sosial tidak boleh diadakan berjaya mencuri tumpuan ramai.
Menerusi satu ciapan, individu tersebut berang kerana terpaksa menangguhkan majlis perkahwinannya gara-gara SOP baharu.
“Eh hello berapa kali eh nak kena tangguh wedding. Waknat punya PRN menyusahkan orang,” kata individu itu.
Ciapan tersebut kemudian bukan saja mencetuskan perdebatan ramai, malah ia turut menerima respon Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Jelas Hishammuddin, larangan hanya untuk aktiviti perhimpunan sosial berkaitan dengan pilihan raya.
“Saya pasti majlis perkahwinan saudari tiada berkaitan pilihan raya.
“Jika saudari dalam negeri fasa 4, sila ikut SOP yang tertera. Selamat pengantin baru,” katanya membalas ciapan individu tersebut.
Sekadar info, KKM menetapkan larangan berkaitan PRN itu berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)