Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Berat Badan Hilang 18KG Sejak Duduk Penjara, Yasin Sulaiman Menderita Sakit...

Gempak
16/03/2023 00:00 MYT

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memaklumkan dirinya kini menderita penyakit tiriod sejak lima bulan lalu.

Yasin yang hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, memaklumkan menghidap penyakit berkenaan sejak November tahun lalu.

“Syukur apabila pihak penjara menyediakan ubat untuk merawat penyakit saya,” katanya ringkas.

Pada masa sama, penyanyi itu turut memaklumkan berat badannya kini turun sebanyak 18 kilogram (kg) sejak berada di dalam penjara.

Ujarnya lagi, meskipun keadaan fizikalnya sedemikian, dia tidak mahu ada orang beranggapan pihak penjara tidak memberi makan yang cukup.

“Dipenjara makanan cukup, melimpah ruah di sana juga banduan-banduan gemuk pun ramai, jadi tiada isu kata saya tidak cukup makan, cuma badan saya sahaja tidak gemuk,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam prosiding yang berlangsung semalam, penyanyi berusia 48 tahun ini didapati gagal lagi dalam permohonan representasi kali ketiga bagi mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

“Pihak kami telah terima jawapan berhubung representasi ketiga itu pada 13 Mac (Isnin) dan reprsentasi itu telah ditolak.

“Justeru pihak kami akan mengemukakan representasi keempat dalam masa terdekat dan memohon tarikh perbicaraan pada hari ini dan esok dilapangkan dan saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan,” kata peguam yang mewakili Yasin.

Justeru, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk sambung perbicaraan selain pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi itu.

Sumber: Kosmo

;