Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Berbaloi Lima Tahun Hafiz Hamidun Ulang Alik Malaysia-Turki-Mesir-Indonesia

Fiza Kamarudin
07/01/2021 06:30 MYT
Berbaloi penat lelah selama lima tahun Hafiz Hamidun yang berulang alik dari Malaysia ke Turki, Mesir dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album studio keenamnya, Marhaba.

Hafiz berkata, dia merakam sebahagian besar album Marhaba di Istanbul, Turki, dan di studionya di Petaling Jaya, Selangor, Malaysia, bersama pemuzik dan jurutera yang sangat berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Australia.

"Sejak 2015, saya menghabiskan lebih dari lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir, dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.

“Perjalanan itu sungguh hebat, kerana saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia.

“Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada, dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik dari saya," katanya.

Album Marhaba mengandungi 13 trek seperti Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi, Khairal Bariyyah dan banyak lagi.

12 video muzik akan menyusul selepas pelancaran Album ini dan akan dikeluarkan satu setiap bulan mulai Januari 2020.

Sebagai penerbit utama Marhaba, Hafiz mempunyai harapan yang tinggi untuk kejayaan album ini.

“Semasa menghasilkan album ini, saya selalu mengingatkan diri saya seperti ini adalah album terakhir dari saya.

“Dengan berbuat demikian, saya memberikan cabaran kepada diri saya untuk menjadikan album ini sebaik mungkin.

“Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna, tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil dari titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini,” katanya.

Hafiz Hamidun mengumumkan kemunculan semula dengan membawa Salawat Islam moden yang baru kepada peminat dengan pelancaran album ini.

Album Marhaba boleh dipesan secara eksklusif melalui Shopee. 3000 set kotak yang mengandungi salinan album fizikal telah dijual untuk pra-pesanan sejak 12 Disember 2020.

Evolusi Hafiz Hamidun tidak kurang hebatnya. Setelah menjadi ahli kumpulan nasyid UNIC, dia menjadi artis solo dengan rentetan pelancaran ikonik, produser dan komposer pemenang anugerah, dan pengusaha muzik dengan jejak antarabangsa.

Sumbangan inovatifnya terhadap muzik nasyid telah menyebabkan dia dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia.
#Hafiz Hamidun #Album Studio #Fizikal Album #Marhaba