Pelakon Bella Dally ditahan polis semalam gara-gara melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bella atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Dally, 29, ditahan bagi membantu siasatan tindakannya mengayuh basikal ke Genting Sempah, Bentong di Pahang pada Ahad lalu.

Difahamkan, selebriti itu ditahan selepas pihak polis melihat dua keping foto dimuat naik di Instagramnya yang memaparkan dia bersama rakannya sedang berbasikal.

Memetik laporan Kosmo!, hasil siasatan mendapati dua wanita tersebut bergerak dari kediaman masing-masing di Dutamas menghala ke sebuah restoran yang terletak berhampiran Hospital Orang Asli, Gombak.

“Mereka meletakkan kenderaan di sana sebelum berbasikal melalui Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah.

“Kira-kira lebih 10 Kilometer mereka berbasikal sebelum patah balik ke kenderaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan tangkapan pelakon tersebut kepada Kosmo!.

Isnin lalu pelakon Bella Dally dikecam netizen kerana mengayuh basikal ke Genting Sempah, Bentong di Pahang semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang yang masih berkuat kuasa.

Menerusi gambar itu, Bella menulis kapsyen: “Wohoo Gen- ting Sempah with @diyanaba- nana”.

Namun hasil tinjauan Gempak, foto tersebut telah pun dipadam daripada Instagramnya.


Sumber: Kosmo!