Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Bercerai Lepas 11 Tahun, Barbie Hsu Akan Kahwini Bekas Kekasih

Maliah Surip
08/03/2022 13:50 MYT

Bintang terkenal kelahiran Taiwan, Barbie Hsu memberi kejutan kepada peminatnya apabila dilaporkan telah kembali berkahwin selepas bercerai dengan bekas suaminya, beberapa bulan lalu.

Hsu, 45, kini menjadi isteri kepada penyanyi dan DJ veteran Koo Jun Yup.

Pengakuan mengenai perkahwinan mereka diumumkan Jun Yup menerusi akaun Instagramnya, hari ini.

Melalui pengumuman yang dibuat, Jun Yup memberitahu telah mendaftarkan perkahwinan dengan bintang Taiwan itu sekaligus sudah tinggal bersama.

“Saya akan berkahwin. Saya mahu menyempurnakan ikatan yang tidak sempat disimpul dengan kekasih saya dari 20 tahun lalu.

“Saya mendengar mengenai penceraiannya dan terus mencari nombor telefonnya yang pernah saya simpan 20 tahun lalu.

“Saya bernasib baik kerana dia tidak pernah menukar nombor telefon,” dedah Jun Yup seperti dilaporkan AllKPop.

Penyanyi yang juga merupakan generasi pertama grup electronic duo Clon ini kemudian mengatakan tidak memerlukan masa yang lama untuk bercinta semula dengan Hsu.

“Kami sudah berada pada usia dan fasa yang tidak mahu dibazirkan. Jadi saya melamarnya (berkahwin) dan dia bersetuju.

“Jadi sekarang kami tingga bersama selepas mendaftarkan perkahwinan. Tolong raikan dan ucap tahniah kepada saya,” tulisnya lagi.

Sebelum ini Jun Yup mengaku pernah menjalin hubungan cinta dengan bintang drama Meteor Garden itu selama setahun pada zaman muda mereka.

Hsu sendiri baru bercerai dengan bekas suaminya yang merupakan seorang usahawan dari China pada November 2021.

Mereka telah berkahwin selama 11 tahun dan dikurniakan dua orang anak sebelum Hsu mengumumkan telah memfailkan penceraian pada Jun tahun lalu.

Hsu meninggalkan kariernya sebagai pelaku seni demi memberi fokus terhadap rumah tangga yang dibina. Kini Hsu dikatakan bersedia untuk kembali memeriahkan industri seni.

#Kahwin #Viral #cerai #Taiwan #Bekas Kekasih #Barbie Hsu