Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Berdepan Boikot, FamilyMart Berpendirian Tetap Tak Sokong Keganasan Atau Pembunuhan

Muhammad Firdaus
06/02/2024 01:55 MYT
Baru-baru ini, ramai menggesa supaya syarikat FamilyMart diboikot selepas dikatakan bekerjasama dengan rejim zionis berkaitan konflik yang berlaku antara Palestin-Israel.

Susulan itu, FamilyMart Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat berkenaan tidak menyokong sebarang keganasan atau menyumbang kepada Israel.

“Kami ambil maklum mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di Malaysia.

“Pada Mac 2023, ia dilaporkan Itochu Aviation (anak syarikat kepada Itochu Corporation) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nippon Aircraft Supply dan Elbit Systems untuk mengimport teknologi pertahanan ke Jepun bagi tujuan keselamatan negara Jepun.

"Kami dimaklumkan hari ini (5 Februari 2024) oleh FamilyMart Co., Ltd Japan bahawa Itochu Aviation akan menamatkan MoU tersebut, seperti yang dilaporkan dalam berita di Jepun,” terangnya.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan menyatakan keputusan itu dibuat atas dasar memberi sokongan ke atas kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) bagi membendung pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Keputusan ini dibuat bagi menyokong sokongan kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) baru-baru ini, yang termasuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

"FamilyMart Malaysia ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak menyokong keganasan atau pembunuhan,” jelas syarikat itu.

Sekadar info, Syarikat Elbit adalah penyumbang utama tentera Israel. Perjanjian antara Elbit dan Itochu adalah bertentangan dengan nilai Jepun serta piagam Kumpulan Itochu.

#FamilyMart