Berehat Dari Konsert, Cakra Khan Mahu Beri Tumpuan Kepada…
Penyanyi Indonesia, Cakra Khan mengumumkan akan berehat daripada mengadakan konsert solo selepas tiga tahun berturut-turut menghiburkan peminat di Malaysia.
Pelantun lagu Kepada Hati itu juga meluahkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterimanya setiap kali membuat persembahan di Malaysia.
“Sebenarnya selepas ini saya sudah membuat keputusan untuk berehat. Selama tiga tahun berturut-turut saya berada di sini (Plenary Hall) adalah sangat baik, terima kasih.
“Dan ini lagu Harus Terpisah buat kita semua,” katanya.
Cakra berkata demikian ketika di penghujung persembahannya yang akan membawakan lagu hit Harus Terpisah.
Dalam pada itu, Cakra juga memberitahu dia mahu memberi fokus untuk menghasilkan karya-karya baharu sepanjang dia berehat.
“Saya tidak tahu berapa lama tapi saya nak kalau saya buat konsert saya boleh berikan naskah terbaharu untuk peminat saya.
"Saya mahu fokus untuk keluarkan lagu baharu, ia sangat bagus sebab 3 tahun dapat buat konsert disini dan saya rasa ia adalah masa yang sesuai untuk keluarkan sesuatu yang baharu untuk peminat," ujarnya kepada Gempak.
Konsert Divine Cakra Khan berlangsung di Plenary Hall KLCC pada 2 Ogos 2025.
Berlangsung selama hampir 3 jam Cakra menghiburkan peminat yang hadir dengan 26 buah lagu antaranya Harus Terpisah, Kepada Hati, Terlanjur Cinta, Bunyi Gitar, dan Hal Hebat.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Titi DJ, Marsha Milan, Ade Trio XL, Govinda dan Faizal Lubis.