Hiburan
Berehat Seketika Daripada Aktiviti Seni, Aizat Amdan Bakal Sertai Misi Kemanusiaan Lagi
Penyanyi dan komposer Aizat Amdan berkongsi pengalaman ketika menjadi salah seorang sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Cinta Syria Malaysia.
Menurut Aizat, melihat keadaan pelarian terutama kanak-kanak di sana merupakan salah satu pengalaman yang memberi kesan kepada dirinya.
"Sampai sekarang saya masih terbayang keadaan kanak-kanak comel yang tiada tangan dan kaki serta muka terbakar ditempatkan di kem pelarian di sana.
"Itu antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa berada di Syria.
"Keadaan kem pelarian mereka sangat menyedihkan dengan tiada pemanas dan hanya ada kain pelindung serta karpet saja.
"Justeru, kita sangat bertuah kerana berada dalam keadaan aman dan harmoni di negara ini," katanya kepada Gempak.
Aizat ditemui pada sidang media Jimba Fest Tour 2019 di pejabat Warner Music, Menara TSR, Petaling Jaya, semalam.
Tambah pelantun lagu Sampai Ke Hari Tua ini, dia mendedahkan bakal menyertai misi kemanusiaan musim sejuk, Cinta Syria Malaysia buat kali ketiga pada tahun depan.
"Saya terpanggil untuk menjayakan misi kemanusiaan musim sejuk pada 6 hingga 17 Januari tahun depan kerana terkesan dengan penderitaan mereka.
"Saya juga merancang untuk berehat seketika daripada aktiviti seni bagi memberi fokus pada program kemanusiaan ini nanti.
"Pada masa sama, saya juga mengalu-alukan sumbangan barangan keperluan asas daripada orang ramai untuk dibawa ke sana nanti,” katanya lagi.
Selain Aizat, siri jelajah Jimba Fest Tour 2019 turut disertai oleh barisan artis-artis popular di bawah naungan label Warner Music Malaysia (WMM) seperti Datin Alyah, Maya Karin, Andi Bernadee, De Fam, Awi Rafael, Elizabeth Tan dan ramai lagi.
Siri Jelajah Jimba Fest Tour 2019 ini bakal menggegarkan enam buah lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia dari Oktober hingga Disember tahun ini.
Must-Watch Video