Penyampai radio Suria FM, DJ Lin, memaklumkan ibu kesayangannya, Puteh Jantan, 80, meninggal dunia.

DJ Lin berkongsi berita sedih itu menerusi akaun Facebook dan Instagram miliknya hari ini.

Arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit buah pinggang di kediamannya di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, pada jam 4.50 pagi ini.

“Salam Jumaat semua, dengan lafaz Bismillah, #djlin ingin memaklumkan bahawa Ibunda Lin yang tercinta, Puan Hajah Puteh Bt Jantan baru sahaja meninggal dunia jam 4.50 pagi ni (Jumaat, 24 Jun 2022) di rumah kami di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, Johor.

“Jenazah akan dikebumikan sebelum waktu Solat Jumaat. Mohon semua sedekahkan Alfatihah ya buat Allahyarhamah moga Rohnya tenang di alam sana dan ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman. Ameen Ya Rabbal Alamin,” tulisnya.

A post shared by DJ LIN (@djlinsuriacinta)

Dalam pada itu, coretan DJ Lin kepada arwah ibunya juga turut mengundang sebak netizen.

“Mak, terima kasih di atas segala kasih sayang, pengorbanan serta jasa yang mak taburkan buat orang dan semua anak-anak mak.

“Berehatlah mak… Puas mak menanggung kesakitan. Kami semua dah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit mak namun Allah lebih menyayagimu mak.

“Mak akan sentiasa ada dihati kami dan kenangan kita bersama takkan pernah sekali pun orang lupakan ya mak. Al-Fatihah,” coretnya.

Terdahulu, Allahyarham Puteh dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat penyakit buah pinggang, minggu lalu.

Arwah Puteh meninggalkan sembilan anak dan lebih 40 cucu serta cicit.