Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish mengakui sedia menerima kecaman daripada peminat apabila mengambil keputusan untuk membuat kemunculan semula kumpulan itu.

Menurut Cat, mereka yakin kemunculan semula ini akan diterima baik oleh peminat yang menantikan gabung semula setelah hampir 11 tahun mereka membawa haluan masing-masing.

"Kami sebenarnya tidak mahu berfikir mengenai perkara itu dan bersedia untuk menerima kecaman daripada orang ramai.

"Kita tidak akan tahu penerimaan orang kalau kita tidak cuba melakukan sesuatu kelainan dan kemunculan kami ini adalah satu langkah kehadapan untuk menghiburkan peminat.

"Sekarang ini kami ingin fokus hasilkan lagu dan jalankan aktiviti yang sudah dirancang bersama-sama anggota lain.

"Diharapkan dengan kemunculan ini dapat mengubati hati peminat serta kami harap dapat mengembalikan fenomena lagu berkonsepkan RnB Soul dengan suntikan mesej mengenai kasih sayang dan kekeluargaan,"katanya kepada Astro Gempak.

Cat berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini

Tambah Cat, Ruffedge akan tampil dengan single baharu pada penghujung bulan Mac depan.

Dalam pada itu, Ruffedge akan membuat persembahan pertama secara umum sempena meraikan hari jadi animasi bersiri popular Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak pada 17 Mac depan.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Bunkface, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.