Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Bergaduh Itu Biasa…”- Ketepikan Konflik, UNIC Bergabung Bersama Bekas Ahli Dalam Konsert REUNIC

Syafiqah Jalal
16/09/2022 08:50 MYT
Kumpulan nasyid UNIC buat pertama kalinya menggabungkan kesemua bekas ahli kumpulan bersatu dalam satu konsert iaitu REUNIC Live In Concert The Finale See You di IPT The Musical yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober nanti.

Menurut ahli kumpulan terkini, Dr. Fitri Haris, menggabungkan kesemua semua sembilan ahli itu tidak mustahil apabila masing-masing mengenepikan kepentingan peribadi yang mungkin pernah timbul konflik antara mereka demi satu titik persamaan kepada muzik.

“Kalau nak cerita fasal konflik memang ada banyak konflik pernah berlaku iaitu dari segi konflik dalaman dan luaran serta rohani dan jasmani satu ketika dahulu.

“Tapi tak mustahil pun nak gabungkan kami semua kalau masing-masing letak kepentingan peribadi itu ketepi dan bawa semangat berpasukan dalam sama-sama cari titik persamaan iaitu…semua minat muzik, minat lagu-lagu UNIC dan paling penting semua rindukan peminat UNIC.

“Bagi saya bergaduh ini biasalah. Kadang-kadang bila pernah kami berdua sahaja dalam ahli pun boleh bergaduh. Kelakar pun ada tapi kami cuba bagi yang terbaik untuk konsert ini,” katanya.

UNIC yang kini dianggotai oleh Fitri, Bazli dan Fakhrul ditemui ketika sidang media mengumumkan Konsert REUNIC itu di Menara Kuala Lumpur, pada Selasa.


Pun begitu, Fakhrul memberitahu bukan mudah untuk mencari dan menggabungkan ahli lama sejak 20 tahun lalu yang sudah lama tiada dalam industri.

“Cabaran nak kumpulkan semua itu bukan mudah. Ada di antara mereka yang hendak sertai tapi malu. Bagi saya memang kena ada yang mulakan dahulu untuk mengajak mereka.

“Ada juga yang sudah lama tiada dalam industri dan dah lama tidak menyanyi tapi dalam masa yang sama turut merindui untuk beraksi dan bertemu peminat.

“Tapi Alhamdulilah kerana kali ini kami berjaya menggabungkan semua tanpa tercicir ahli lama dalam UNIC untuk pertama kalinya,” ujarnya.

Mengulas sedikit mengenai persembahan mereka nanti, Fakhrul memberitahu akan ada beberapa segmen serta muzikal yang akan dipersembahkan dan dalam masa yang sama mengimbau dari mula penubuhan kumpulan itu.

“Kami tidak akan tampil serentak di atas pentas nanti kerana akan ada segmen-segmen yang disusun bagaimana ahli-ahli ini bermula dengan UNIC.

“Kami akan ada segmen muzikal dan yang akan mengimbau kenangan cerita UNIC supaya peminat dan penonton dapat sama-sama ingat kembali kenagan mereka bersama UNIC,” ceritanya.

Konsert REUNIC yang menggabungkan kembali ahli lama yang pernah meninggalkan UNIC dari tahun 2002 hingga kini itu bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober, jam 8.00 malam.

Tiket menonton secara fizikal bagaimana sudah habis dijual tetapi dibuka untuk tiket menonton secara penstriman dalam talian yang boleh dibeli bukan sahaja peminat di Malaysia malah seluruh dunia terutama dari Indonesia dan Singapura.

Tiket konsert bagi tontonan dalam tailan boleh dibeli melalui laman web http://t2u.asia/e/2844 yang ditayangkan sehari selepas Konsert Live REUNIC The Finale pada 9 Oktober, jam 9 malam.

#UNIC #Konflik #Bekas Ahli #Bergabung #Konsert REUNIC