Temu Anwar, sebuah program dialog anak muda bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat julung kali telah diadakan di luar negara iaitu Indonesia.

Anwar telah bertemu dengan anak muda dalam sesi dialog tersebut, semalam di Grand Emerald Ballroom, Redtop Hotel & Convention Centre, Jakarta.

Menerusi pantauan Gempak di media sosial, ramai selebriti tempatan juga tidak melepaskan peluang bertemu dengan Anwar.

Salah seorangnya adalah pesohor industri Indonesia yang penuh kontroversi, Ahmad Dhani.

Pertemuan empat mata Ahmad Dhani yang merupakan pengasas kumpulan Dewa 19 itu dengan PM ke-10 Malaysia dikongsikannya di akaun Instagramnya.

Apa yang mencuri perhatian warganet adalah kapsyen ringkas yang ditulis oleh Dhani.

“Sama-sama pernah dipenjara,” tulisnya ringkas namun penuh makna.

Seperti diketahui, Dhani pernah meringkuk di penjara pada tahun 2019. Dhani ditahan dan dipenjarakan di Cipinang, Jakarta Timur selama 18 bulan selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter.

Anwar pula pernah dua kali dipenjarakan, pertama pada tahun 1999 dan 2015.