Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bergaya Dengan Selendang Ala Raja Permaisuri Agong Untuk Majalah Sekolah, Tunku Azizah ‘Tweet’ Pelajar Ini!

Fiza Kamarudin
27/08/2019 22:00 MYT
Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2) Shah Alam, tidak menyangka Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar akan meninggalkan komen pada foto yang dikongsinya.

Pelajar tersebut, Sarah Misha Mirza Mohamad Raziq Beg, pada mulanya hanya berkongsi foto bersama rakan-rakan sekelas mengenakan selendang ala Raja Permaisuri Agong menerusi laman Twitter @SarahMiisha.

Sarah Misha yang berkongsi foto tersebut pada Ahad lalu, berkongsi rasa teruja mengenakan selendang sebagai pelengkap busana seperti Raja Permaisuri Agong, untuk sesi fotografi majalah sekolahnya.

Menerusi ciapan tersebut, Sarah Misha turut menyebut laman Twitter Tunku Azizah Aminah, iaitu @cheminahsayang.

“Tahun ni gambar kelas terinspirasi dengan gaya our Queen, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah @cheminahsayang,” tulisnya.

Tunku Azizah Aminah kemudiannya memberi reaksi positif dengan memuji penampilan Sarah Misha dan rakan sekelasnya.

“Cantiknya”, tulis baginda.

Foto Sarah Misha dan rakan-rakan sekelasnya tular pada Ahad lalu dan rata-rata warga net memuji idea mereka untuk mengambil inspirasi daripada fesyen digayakan Tunku Azizah Aminah.

Warga net yang lain juga turut berkongsi foto mereka yang mengenakan selendang yang diinspirasikan daripada Tunku Azizah Aminah.
#Viral #Gaya Hidup #Viral #Raja Permaisuri Agong
;