Hiburan
Bergelar Penyanyi & Usahawan, Jac Akui Sibuk Uruskan Restoran
Penyanyi Jaclyn Victor atau mesra disapa Jac akui kerjayanya terkesan ekoran krisis COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Namun menurut Jac, sejak PKP diberi kelonggaran, dia sudah kembali memenuhi undangan persembahan TV yang dilakukan dengan pematuhan SOP tertentu.
"Semua rakyat Malaysia terkesan dengan krisis COVID-19 dan pelaksanaan PKP pada Mac lalu, begitu juga dengan saya.
"Sejak PKP dilaksanakan beberapa bulan lalu, saya banyak menyanyi dan merakam video di rumah.
"Apabila PKP diberi sedikit kelonggaran dengan pematuhan SOP, saya sudah kembali memenuhi undangan persembahan TV yang dirakam awal sebelum ditayangkan kepada umum," katanya kepada Gempak baru-baru ini.
Bercakap mengenai komitmen sebagai seorang anak seni dan usahawan, Jac akui dia banyak meluangkan masa di restoran miliknya, B.A.T.S Restaurant and Lounge yang terletak di Bangsar.
"Selain aktif dalam bidang hiburan, saya juga sedang sibuk menguruskan restoran saya, buat masa ini itulah yang banyak menghabiskan masa saya.
"Saya perlu tumpukan lebih perhatian memandangkan restoran itu baru sebulan lebih beroperasi," katanya lagi.
Sekadar info, Jac mula berjinak dalam industri hiburan pada sekitar tahun 2003 dan lebih dikenali selepas menjuarai program Malaysian Idol pada tahun 2004.