Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bergilir-Gilir Jaga Konti Radio & Sembahyang, Hefny Sedih Elizad Dituduh Tak Solat & Mandul - "Tiap Hari Dia Cerita Pasal IVF"

Zulaikha Yusof
26/06/2021 01:30 MYT
Penyampai radio Sinar Hefny Sahad, 34, terkilan dengan tindakan individu yang melemparkan komen kesat pada rakan sekerjanya, Siti Elizad, 37, baru-baru ini.

Hefny atau nama sebenarnya Mohamed Hefny Sahad menganggap kelakuan individu itu sudah melampaui batas kerana dia tahu perjalanan Elizad dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

"Setiap hari dia cerita perjalanan Persenyawaan In Vitro (IVF) dekat pejabat.. macam mana rasa sakit, makan kena jaga. Jadi bila ada orang komen sampai tahap mengeluarkan kata-kata kesat, mesti la Elizad terasa..dia seorang wanita.

"Sebelum ini pun, selalu ja dia cerita kat saya yang ada orang cakap kat dia macam-macam. Saya minta dia bersabar, jangan layan sebab buat sakit hati sendiri. Elizad ini seorang yang sentiasa gembira, jarang nak kisah dengan apa orang lain cakap pasal dia.

"Saya tak tau mungkin individu itu hanya berniat nak gurau tapi dah melampau sangat. Kita kena jaga sensitiviti orang lain juga. Sebagai orang Melayu kita dibesarkan dengan adab.. nak komen kena la beringat!

"Artis pun manusia, yang ada hati dan perasaan. Bukannya robot! Sekarang mungkin tahap kesabaran dia dah sampai limit, itu yang terus buat tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Gempak.

Ketika ditanya mengenai tuduhan tidak solat, bekas pengacara program HLive menyatakan dia dan Elizad akan bergilir-gilir untuk menunaikan solat ketika mereka di konti.

Bagaimanapun, katanya lagi, persepsi negatif terhadap individu yang bekerja dalam industri seni bukan satu perkara baru.

"Saya malas nak cakap sebab kalau cakap pun siapa nak dengar. Bukan Elizad ja, ramai lagi artis-artis lain yang kena. Dalam dunia hiburan ini memang selalu dilabel macam itu.

"Jangan la sesuka hati nak cakap pasal ibadah orang lain. Jangan cepat menghukum orang. Mana dia tahu? Dia nampak ka apa Elizad buat?

"Kalau nak cakap pasal solat, kami memang akan gilir-gilir bila dah masuk waktu. Elizad sendiri ada bawa sejadah dan telekung.

"Tapi tak payah nak cerita pasal ini sebab memang dah tanggungjawab sebagai orang Islam. Tak kan nak kena bagitau bila dah solat.

"Untuk manusia yang suka berfikiran begitu, ubah la hati supaya jadi lebih baik. Jangan ingat orang yang kerja industri ini semuanya buruk," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Awak Sangat Nakal turut berpesan pada pemilik nama Siti Elizad Mohamad Sharifuddin agar tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat.

"Jangan berhenti mencuba Elizad, apa yang awak buat dah betul. Usaha, doa dan tawakal, insya-Allah Allah akan kurniakan apa yang diinginkan. Lain orang lain rezeki dia. Jangan putus asa," katanya lagi.

Terdahulu, Elizad bengang selepas menerima status berbaur penghinaan yang menuduhnya mandul, tidak solat dan tidak menutup aurat.

Tindakan pelaku itu telah mengundang padah apabila Elizad tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil.

BACA: Dihina Mandul, Dipanggil Pu*****! Elizad Buat Laporan Polis - "Kau Tahu Tak Aku Struggle Nak Mati... Susah Payah Nak Dapatkan Anak"

Elizad sebelum ini mengalami keguguran sekitar November tahun lalu selepas menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada Oktober tahun sama.

Untuk rekod, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Abdul Rahman telah mendirikan rumah tangga selama lima tahun.

#Netizen #Siti Elizad #Hefny Sahad #Mandul
;