Berhadapan Konflik Rumah Tangga, Beego Masih Mahu Sambut Syawal Bersama Isteri & Anak-Anak - "Saya Berharap Kami..."
"Raya dah nak dekat, saya berharap kami sekeluarga masih boleh bersatu. Saya nak beraya dengan anak-anak dan bergambar lengkap satu keluarga," katanya kepada Gempak.
Beego berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis, selepas sebutan kes perceraian mereka.
Sementara itu, Linda turut memberi reaksi mengenai perkara tersebut dan tidak menghalang suaminya untuk berjumpa serta menyambut hari raya bersama anak-anak.
"Ramadan kali ini saya agak sibuk dengan penggambaran, malah sehingga selepas raya. Tapi keperluan anak-anak untuk sahur dan berbuka semua sudah saya sediakan.
"Persiapan raya pun saya dah buat lebih awal. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.
"Insya-Allah, kalau ada rezeki, tiada masalah untuk beraya bersama. Janji kami berbincang," jelasnya.
Dalam perkembangan kes perceraian mereka, susulan tiada lafaz talak yang berlaku pada Khamis, mahkamah memutuskan kes permohonan cerai pasangan itu akan diteruskan ke prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan.
Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian terhadap Beego pada Januari lalu atas alasan tiada lagi persefahaman.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.