Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid memberikan amaran agar tidak mengungkit lagi kisahnya dengan mana-mana wanita sebelum ini.

Malah, hero Malaya yang sedang hangat diperkatakan selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 itu memohon agar menghormati kehidupan peribadinya.

"Berhenti kaitkan saya dengan wanita-wanita kisah lepas, tolong hormat! Past is past," tulisnya menerusi akaun Twitter miliknya semalam.

Safawi bertindak sedemikian selepas sebuah artikel yang berkongsi senarai lima gadis yang pernah dikaitkan dengannya tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, meninjau ruangan akaun Instagramnya, Safawi sempat berkongsi suasana majlis doa selamat yang berlangsung di kediamannya.

Malah, sekeping fotonya bersama sebuah kereta mewah hitam di halaman rumahnya turut menarik perhatian ramai.

Kejayaan Safawi menewaskan pasukan Indonesia dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil Selasa lalu masih hangat diperkatakan umum.

Tidak mustahil pelbagai kisah menarik tentang kehidupan peribadi dan keluarganya kini diintai ramai.