VIRAL
Berhenti Kerja Makan Gaji, Usahawan Viral Bina Jenama Sendiri Bernilai RM100 Juta - "Saya Tekad Kejar Impian Yang Selalu Bermain Di Hati"
Bagi sesetengah orang, meninggalkan pekerjaan tetap untuk mengejar impian adalah satu langkah yang terlalu berisiko.
Tetapi bagi Zulkifli Yusop, keberanian untuk keluar dari zon selesa adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidupnya.
Seperti kebanyakan pekerja, beliau pernah berada di situasi di mana usahanya membawa pulang keuntungan berjuta-juta kepada syarikat, namun ganjaran yang diterima tidak setimpal.
"Saya sering membawa pulang jualan berjuta-juta semasa bekerja di syarikat lama tapi gaji dan imbuhan yang diterima tidaklah setimpal.
"Saya bertekad untuk mengejar impian yang selalu bermain di hati saya iaitu untuk memiliki syarikat sendiri dan atas keyakinan itu saya berhenti kerja," katanya dengan penuh semangat.
Bermula dengan sebuah premis kecil pada tahun 2008, beliau mencipta produk minyak wangi sendiri dengan modal RM1,000. Keputusannya untuk mengambil langkah ini pada awalnya dipersoalkan oleh orang sekeliling.
Namun, apabila modal kecil itu berkembang menjadi pulangan sebanyak RM80,000 dalam masa tiga minggu, ia menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar.
Pernah gagal, rugi besar
Tidak mahu berhenti di situ, Zulkifli terus mengembangkan jenamanya, First Grade Resources, dengan menawarkan produk pelangsing badan, losyen dan minuman kesihatan. Namun, perjalanan ini tidak sentiasa lancar.Pernah sekali, produk yang dihasilkannya gagal dan menyebabkan kerugian besar.
"Di kilang kami, setiap produk yang dihasilkan melalui fasa kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan hanya yang terbaik sampai ke tangan pelanggan," ujarnya.
.jpg)
Kilang RM25 juta di Kulim
Kini, First Grade Resources berdiri megah sebagai salah satu pengilang terbesar di Malaysia untuk produk kecantikan, kesihatan dan minuman.Kilangnya yang bernilai RM25 juta di Jalan Junjung, Kulim, bukan sahaja dilengkapi teknologi canggih tetapi juga mempunyai sistem automasi penuh yang mampu menghasilkan 50,000 unit produk seminggu.
"Dengan teknologi terkini, kapasiti pengeluaran meningkat dengan pesat dan kilang baharu ini juga mendapat pensijilan dari Kementerian Kesihatan (KKM), sijil halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)," jelasnya.

Di sebalik kejayaannya hari ini, Zulkifli tetap menekankan kepentingan inovasi.
"Kami sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk-produk baharu yang memenuhi keperluan dan kehendak pasaran semasa. Dengan cara ini, kami dapat memastikan jenama First Grade sentiasa segar di mata pengguna," tambahnya.
Menutup perbualan, Zulkifli berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada usahawan lain yang ingin mengejar impian; "Kejayaan tidak datang bergolek. Ia memerlukan usaha, kesabaran dan keyakinan yang tinggi. Jangan pernah berputus asa dan sentiasa percaya pada diri sendiri."
Must-Watch Video