HIBURAN

“Berhenti Rokok Memang Pilihan Akim” - Stacy

Asyraf Roslan 20/05/2025 | 06:55 MYT

Penyanyi, Stacy meluahkan rasa syukur apabila suaminya, Akim Ahmad membuat keputusan untuk berhenti merokok.

Jelas Stacy atau Stracie Angie Anam, 34, meskipun agak sukar pada awalnya namun keputusan untuk tidak lagi merokok merupakan pilihan suaminya sendiri.
“Berhenti rokok memang pilihan Akim sendiri. Waktu awal-awal dahulu, Akim suka membebel, sakit telinga. Biasalah semuanya berfasa.

“Cuma mujur saya sudah menganggap dia sebagai kawan, kalau baru jumpa terus kahwin, mungkin sampai sini sahaja,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, pelantun lagu Pakai Buang itu turut menzahirkan rasa bangga melihat suaminya itu terus cekal dan kuat semangat menguruskan keadaan bapa yang disahkan mengidap kanser paru-paru sejak tiga tahun lalu.

“Bagaimana keadaan terkini bapa mentua, biarlah Akim sendiri yang cerita. Walaupun dia sudah menjadi ayah saya sendiri.

“Cuma memang mental Akim sangat terganggu, dengan menguruskan anak serta konsert yang bakal kami jalani.
“Saya harap dia terus bersabar dan kuat menjadi hidup sebagai seorang bapa, anak dan suami,” tambahnya.
Terdahulu, Akim berkongsi mula menjalani gaya hidup lebih sihat termasuk berhenti merokok selepas bapanya disahkan mengidap kanser paru-paru.
Selepas berhenti merokok, keadaan bapanya lebih sihat disamping dirinya lebih bertenaga bernyanyi di atas pentas.

#Akim Ahmad #Stacy #Merokok #Berhenti Merokok