Juri jemputan konsert separuh akhir Big Stage 2020 (BS2020) Datuk Syafinaz Selamat tidak merasakan kritikannya terhadap tahap bahasa Inggeris bintang BS2020 Qody Rany sebagai sensitif.

Menerusi laman sosial Twitter, ramai wargamaya yang tidak berpuas hati apabila Syafinaz dan Ajai seperti merendahkan kemampuan sebutan Qody dan melabelkannya sebagai ‘education shaming’.

Bagi Syafinaz, dia berpendapat kritikan itu sepatutnya digunakan untuk memperbaiki diri dan bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa.



“Apa yang sensitif? Kita belajar kat sekolah dari darjah satu, jadi apa masalahnya ada orang kata sensitif? Kalau tak boleh cakap bahasa Inggeris pun tiada masalah. Lagi pun itu cuma lagu, dah ada orang yang menyanyi, tiru je la.

“Apa yang saya maksudkan dengan komen tadi, kalau awak boleh nyanyi lagu bahasa lain macam bahasa Korea ataupun lagu hindustan, kita tak bercakap pun bahasa tu. Jadi apa masalahnya?”

“Kita bukan nak malukan dia, kita nak dia jadi lebih baik. Berhenti la cakap pasal education shaming ni, terima sahajalah bila orang dah bagi kritikan untuk anda semua memperbaiki diri,” kata Syafinaz kepada Gempak.

Syafinaz ditemui semasa majlis sidang media konsert separuh akhir BS2020 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Namun bagi Qody sendiri, dia menerima komen juri dengan hati dan fikiran yang terbuka.



“Apa yang juri cakap tu betul, itu adalah tanggungjawab kita sebagai seorang penyanyi dan saya akan belajar.

“Saya bukanlah tak pandai sangat bahasa Inggeris ni, ada juga lagu-lagu Inggeris yang saya tahu tapi lagu Rude ni pada saya sebutan dia agak susah. Lagu ni diberikan oleh pihak juri kepada saya dan saya terima cabaran ini.

“Buat apa saya masuk bertanding kalau tak boleh terima cabaran yang diberikan oleh juri. Jadi saya ambil perkara ini sebagai pembelajaran,” kata Qody menjawab komen juri.

Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.